Pengalaman ke Langkawi menaiki pesawat MYAirlines

Pengalaman ke Langkawi menaiki pesawat MYAirline dengan callsign Z97701 hari ni memang akan saya ingat hingga bila bila. Tiket dan proses check in memang saya buat secara online. Jadi boarding pass saya print siap dah.

Seperti kebiasaan, saya akan menyemak anggaran waktu sampai ke KLIA2 sebelum memulakan perjalanan. Ngam sampai pukul 1. Boarding time 1.25. Masih ada waktu bersantai la kiranya. Perjalanan dari rumah memang lancar. Selepas persimpangan USJ Hicom, kenderaan mula bergerak perlahan. Makin lama makin melekat. Mata tak lepas memerhati jam di dashboard kereta.



Tepat 1.30 baru saya exit tol KLIA..Sudahhh. Masa ni memang gesa cepat la drive. Laju la sikit. Turun kereta memang takde dah istilah berjalan. Rasa nak pikul je luggage ni.

“Lambat dah ni. Lari cepat” itu yang keluar dari mulut polis sewaktu daftar masuk. Sepanjang saya berlari menuju ke Gate J11, tak henti berdoa. Sempat la. Bagi la boleh masuk. Masa ni rasa Gate J11 ni cukup jauh.

Menghampiri Gate J11, terdengar jeritan ground crew “MYAirline ke Langkawi” sambil matanya memerhati keliling. Segera saya menyahut.
“Boleh saya check boarding pass?”
“Ok ngam, last passenger ke Langkawi dah ada” laung dia pada ground crew yang lain.
Alhamdulillah ketar segala kelapa lutut. Kering tekak semua ada. Malu lagi la tebal bila jadi orang terakhir ni.

Penerbangan mengambil masa 1 jam 5 minit. Memasuki ruang angkasa Langkawi terasa pesawat sedikit bergegar. Pandang keluar, rupanya awan tebal. Tanda nak hujan ni. Betul sangkaan saya, hujan lebat menyambut kami. Terasa pesawat terhentak selalu. Ke kiri ke kanan juga. Doa lagi tak putus putus.

Pemandangan luar tingkap hanya putih hujan. Tak nampak dah pokok sewaktu pesawat nak mendarat. Senyap sunyi..keras semua penumpang menahan debar. Tiba tiba pesawat meluncur laju naik ke udara semula. Keadaan cuaca buruk menyebabkan keadaan tidak selamat untuk meneruskan pendaratan.

Pesawat berlegar diruang angkasa Langkawi untuk tempoh melebihi 15 minit. Tiba tiba kedengaran pengumuman dari aircrew, pesawat Z97701 tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan akan meneruskan penerbangan kembali ke KLIA. Pengalaman ke Langkawi menaiki pesawat MYAirline dah rasa lain macam pulak.

Tiba tiba suasana dalam pesawat bertukar gamat. Air crew ke depan ke belakang menenangkan suasana. Apa tak nya, majoriti penumpang pesawat ke Langkawi merupakan pelancong. Segalanya telah ditempah dan dibuat bayaran. Dari kereta sewa hingga ke penginapan. Tak termasuk lagi tempahan untuk aktiviti yang akan dibuat di Langkawi nanti. Tak kan nak burn semua.

Tiada sebarang jawapan dapat diberi pihak aircrew. Segala aturan diatur pihak ground crew. Kami hanya diminta bersabar dan menunggu pengumuman sebaik mendarat di KLIA2 nanti.

Sebaik mendarat kami semua diminta keluar dan menunggu di ruang menanti di dalam terminal. Rupanya ramai penumpang didalam keadaan panic dengan keadaan tadi. Taklimat ringkas dari pihak ground crew MYAirlines benar benar memberi nafas lega pada semua. Pesawat hanya berhenti untuk mengisi minyak dan kami akan diterbangkan semula ke Langkawi sebaik minyak pesawat selesai diisi. Kami diberi masa hanya 20 minit sekiranya hendak ke mana mana sewaktu tempoh menunggu tersebut.

5.10 petang pesawat mula bergerak meninggalkan Lapangan Terbang KLIA. Pengumuman dari kapten kapal memaklumkan bahawa penerbangan dijangka mendarat di Langkawi pada jam 6.15 petang. Alhamdulillah..takde lah burn semua yang dah dibayar. Memang terus berbunga hati masing masing walau hakikatnya dah kelaparan.

Memasuki ruang angkasa Langkawi, seakan mengulangi pengalaman awal tadi. Bergegar pesawat sekali lagi. Kali ni lebih senyap kerana gegaran terasa lebih kuat. Saya memerhati sekitar. Sunyi. Sesekali hentakan kuat pada pesawat membuat semua termasuk saya, terus memaut seat di hadapan masing masing.

Awan diluar memang tebal. Saya memang tidak arif tapi memerhati awan diluar setiap kali melakukan penerbangan, dapat saya bezakan keadaan awan. Kali ni nampak awan cukup padat. Tidak putih bersih. Bercampur warna kelabu. Bermakna awan membawa hujan bersama. Doa kali ni lebih panjang, mengharap dipermudahkan untuk kami semua menjejaki Pulau Lagenda.

Dalam debar melalui detik begini, pilot membuat pengumuman memaklumkan keadaan cuaca yang kami sedang tempuhi. Awan mendung beserta hujan lebat akan melewatkan kami untuk mendarat. Debar makin memuncak. Setiap kali pesawat terasa terjatuh di dalam awan mendung, terasa jantung terangkat sama. Terasa seakan nafas disentap pantas.

Pada masa ni saya lihat, tidak ada sesiapa merakam memori diluar tingkap. Pastinya doa yang berpanjangan dari semua.

Alhamdulillah.Tepat 6.30 petang, pesawat berjaya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi walau lewat 15 minit dari jangaan awal. Gemuruh pesawat dengan tepukan semua.

Dapat memijak Pulau Langkawi kali ni adalah satu nikmat yang terasa cukup besar. Nikmat setelah debar memang terasa lain. Rupanya memang ada amaran ribut telah dikeluarkan pada hari penerbangan kami.

Pengalaman ke Langkawi menaiki pesawat MYAirline tak kan saya lupakan sampai bila bila. Memang panjang lah nanti cerita saya dekat semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *